10/05/2026
Kepimpinan YB Datuk Ewon Benedick Kini Membawa Sabah Lebih Jauh Di Peringkat Antarabangsa
Apa yang berlangsung di Dalian, China memperlihatkan satu sisi kepimpinan YB Datuk Ewon Benedick yang semakin matang dan diyakini di peringkat antarabangsa. Lawatan kerja dan misi perdagangan ini memberi gambaran jelas bahawa beliau kini membawa peranan yang jauh lebih besar sebagai Timbalan Ketua Menteri III Sabah.
Daripada pertemuan rasmi bersama pimpinan Dalian, sesi perdagangan dan pelaburan, lawatan ke syarikat teknologi dan industri, hinggalah kepada pemeteraian kerjasama melibatkan institusi pendidikan dan sektor industri, semuanya menunjukkan Sabah sedang dibawa ke arah hubungan global yang lebih aktif dan strategik.
Di sinilah kekuatan kepimpinan YB DEB semakin terserlah.
Beliau mempunyai kemampuan untuk membawa agenda Sabah ke meja antarabangsa dengan penuh keyakinan dan dihormati pihak luar. Cara beliau mengetuai delegasi Kerajaan Sabah juga memperlihatkan tahap kepercayaan besar yang diberikan oleh YAB Ketua Menteri Sabah kepada beliau dalam membawa nama negeri di pentas perdagangan, pelaburan dan hubungan luar.
Bukan semua pemimpin mempunyai keupayaan untuk bergerak selesa dalam ruang diplomasi antarabangsa sambil membina keyakinan pemain industri luar terhadap Sabah. Dalam lawatan ini, kita dapat melihat bagaimana hubungan yang dibina diterjemahkan kepada potensi kerjasama teknologi, pendidikan, pelaburan dan akses pasaran yang mampu memberi manfaat besar kepada negeri.
Sabah kini semakin dilihat sebagai lokasi strategik untuk perdagangan dan pelaburan di rantau ASEAN. Perkara ini berlaku apabila pemimpin yang dihantar membawa mesej negeri dengan jelas, profesional dan mempunyai visi yang diyakini pihak luar.
Selepas memegang amanah sebagai TKM III dan Menteri MINDET, semakin ramai mula melihat kemampuan sebenar YB DEB dalam membawa Sabah bergerak lebih jauh. Beliau mampu menyesuaikan diri dalam pelbagai lapisan kepimpinan, daripada bersama rakyat di lapangan hinggalah mengetuai delegasi rasmi kerajaan di peringkat dunia.
Inilah antara sebab kenapa potensi dan kepakaran beliau kini dilihat jauh lebih besar berbanding sebelumnya. Keupayaan membina hubungan antarabangsa, menarik keyakinan pelabur dan membawa nama Sabah dalam platform strategik seperti ini memberi nilai yang sangat penting untuk masa depan negeri.