19/09/2022
membulatkan hati untuk mengembara, tiada yang mustahil. Tidak kira latar belakang dari golongan kaya, sederhana ataupun kurang berada, pasti ada jalan merealisasikan impian tersebut.
Bagi dua beranak, Nursulhi Rahim, 43 dan anaknya, Muhammad Aidil, 15, mereka melakukan sesuatu yang mungkin tidak terfikir dek akal kerana mengembara hampir 22 buah negara dengan menggunakan kereta model terhad Kelisa tahun 2004.
Ya, mereka menaiki kenderaan Kelisa yang tidak memiliki sistem haba mengembara di negara-negara diselimuti salji malah berdepan suhu sehingga mencecah -32 darjah selsius.
Bahkan, Kelisa tersebut menjadi tempat dua beranak itu berteduh mengharungi cuaca panas dan hujan.
Nursulhi berkata kereta Kelisa tersebut menyimpan beribu kenangan kepada dirinya terutama apabila memulakan pengembaraan istimewa bersama anaknya yang bermula pada 4 November 2019 sehingga 8 Mac tahun lalu.
“Kelisa itulah tempat kami tidur dan makan. Ia berikutan hendak sewa hotel akan menelan kos yang agak tinggi.
“Sekali-sekala sahaja, saya akan duduk di hotel sepanjang perjalanan selama beberapa bulan itu.
“Selain itu, saya terpaksa memendekkan tempoh masa pengembaraan kerana pandemik Covid-19 baharu sahaja menular di luar negara malah beberapa sempadan sudah mula ditutup kepada orang luar.
“Keselamatan anak menjadi keutamaan dan tidak perlu berfikir panjang untuk kembali ke tanah air, malah keadaan kereta juga berdepan masalah ketika mengambil keputusan itu,” katanya ketika dihubungi Mekanika.
Dia memberitahu, perjalanan melalui beberapa negara di Asia dan Eropah bermula dari Malaysia, Thailand, Myanmar, India, Pakistan, Iran, Turkey, Bulgaria, Romania, Hungary dan Croatia.
Selain itu, Nursulhi, mereka turut melalui Slovenia, Austria, Jerman, Belanda, Denmark, Sweden, Norway, Belgium, Perancis, Switzerland, Itali dan Greece.
Lelaki yang menjalankan beberapa pekerjaan itu menambah terdapat banyak cabaran terpaksa dilalui sepanjang pengembaraan berkenaan.