LAPANGAN TERBANG MELAKA (LTM) atau didahulunya dikenali sebagai Lapangan Terbang Batu Berendam terletak di Batu Berendam, Melaka, iaitu kira-kira 10 kilometer dari pusat Bandar Raya Melaka, Melaka. Dalam pada itu, lapangan terbang ini secara tidak rasmi juga dikenali sebagai Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka. Berdasarkan maklumat yang dipaparkan di laman sesawang rasmi Kementerian Pengangkutan
Malaysia (MOT), hanya terdapat enam (6) buah lapangan terbang di Malaysia yang diwartakan sebagai lapangan terbang antarabangsa, iaitu (1) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA); (2) Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA); (3) Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA); (4) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA); (5) Lapangan Terbang Antarabangsa Senai Johor Bahru (LTAS); dan (6) Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LIA). Dengan kata lain, LTM hanyalah sebuah lapangan terbang domestik dan bukannya sebuah lapangan terbang antarabangsa. Lapangan terbang kecil ini dilengkapi dengan sebatang landasan dengan kepanjangan 2,135 meter dan sebuah bangunan terminal utama dengan keluasan 7,000 meter persegi yang mampu menampung sehingga 1.5 juta penumpang setahun. Terdapat balai-balai perlepasan dan ketibaan yang berasingan bagi penerbangan domestik dan antarabangsa di LTM. Sebelum krisis kesihatan COVID-19 yang bermula pada hujung tahun 2019, terdapat perkhidmatan penerbangan terus dari lapangan terbang ini ke Pulau Pinang, Pulau Langkawi, dan Kota Bharu. Pascapandemik COVID-19 ini, LTM menawarkan perkhidmatan penerbangan terus ke Pulau Pinang dan Pekanbaru (Indonesia).