25/02/2017
PROGRAM JIWA MURNI ANGGOTA PULATIBANG 2 DAN AHLI BAKAT DI RUMAH ANAK YATIM GEMILANG, S*K, KEDAH.
Program ini telah dilaksanakan pada 24 Feb 17 bertujuan mengeratkan hubungan antara anggota TUDM dan penghuni Rumah Gemilang yang terdiri daripada 32 putera, 47 puteri dan 10 staf. Program ini telah dilaksanakan di Rumah Anak Yatim Gemilang dan juga KEDA Resort Bendang Man, S*k, Kedah.
Program Jiwa Murni PULATIBANG 2 ini dimulakan dengan aktiviti gotong royong pembersihan kawasan persekitaran serta bahagian dalaman bangunan. Anak-anak penghuni serta staf Rumah Gemilang turut terlibat dalam aktiviti Ramah Mesra bersama Ahli BAKAT dan anggota PULATIBANG 2 pada hari tersebut.
Pada penutup program, sejumlah perabot dan peralatan elektrik yang telah berjaya dikumpul melalui sumbangan umum telah disampaikan oleh Pegawai Memerintah PULATIBANG 2 kepada En. Abdul Rahman bin Abdul Khaleq selaku Penolong Setiausaha Rumah Gemilang. Pegawai Memerintah PULATIBANG 2 turut menyampaikan sejumlah sumbangan derma yang diperolehi termasuk daripada Gading Kasturi Sdn Bhd sebagai penyumbang utama. Mengambil kesempatan ini, Puan Che Noraini binti Che Ahmad, isteri kepada Pegawai Memerintah turut menyampaikan sumbangan derma daripada Ahli-Ahli BAKAT selain menyampaikan sumbangan peribadi beliau. Mej Ahmad Amir bin Shahidan TUDM juga telah menyampaikan sumbangan daripada Institut Latihan Instruktur Terbang.
Pada ucapan penutup, Pegawai Memerintah PULATIBANG 2 telah melahirkan rasa kesyukuran atas peluang untuk melaksanakan program ini. Beliau telah mengingatkan bahawa setiap insan harus bersyukur atas nikmat-nikmat kehidupan yang telah diperoleh dan sentiasa mengenangkan mereka yang kurang bernasib baik. Beliau turut menasihatkan bahawa atas setiap dugaan dalam kehidupan pasti akan ada ganjarannya dan harus ditempuhi dengan kesabaran selain berusaha untuk mempertingkatkan kemajuan diri untuk kebaikan diri sendiri seterusnya dapat memberi manfaat untuk komuniti sekeliling.
Beliau mengucapkan ribuan terima kasih dan tahniah atas kejayaan melaksanakan program Jiwa Murni ini kepada semua anggota dan ahli BAKAT PULATIBANG 2 yang terlibat terutamanya kepada Mej Mohd 'Abduh bin Mohd Aris TUDM selaku pengelola program tersebut.